Monday, October 6, 2008

Syarat Pembiayaan al-Mudharabah

Antara syarat-syarat perlaksanaan pembiayaan konsep Mudharabah adalah pertama, modal yang diberikan adalah dalam bentuk sejumlah wang tunai yang telah ditetapkan dan mesti dibayar secara tunai sebelum projek dijalankan. Kedua, pemodal mestilah telah dewasa, berfikiran waras, bersedia menyediakan modalnya kepada pengusaha mengikut jumlah yang dipersetujui. Pemodal tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam pengurusan projek tetapi boleh mengawasi dan membuat pemantauan. Ketiga, pengusaha mestilah telah dewasa, berfikiran waras dan boleh menguruskan kerjanya. Keempat, bidang perniagaan adalah tidak terbatas kepada sesuatu jenis dan satu jangkamasa sahaja asalkan ianya halal di sisi syarak. Kelima, kadar keuntungan bersih mestilah diketahui dan dibahagikan di antara pemodal dan pengusaha mengikut nisbah yang dipersetujui dalam satu perjanjian. Keuntungan bersih adalah bersamaan dengan jumlah jualan mudharabah ditolak dengan jumlah perbelanjaan bagi kos-kos yang terlibat dalam pengendalian projek (Mohd Azmi Omar, 1991).

Tuesday, September 9, 2008

Ciri-Ciri Usahawan Muslim

Antara ciri-ciri usahawan Muslim adalah pertamanya memastikan sumber modal yang diperolehi adalah halal di sisi syarak. Ini bermakna usahawan Islam perlu memastikan bahawa modal pinjaman yang diperolehi adalah bebas dari unsur riba yang diharamkan dalam Islam. Kedua, menjalankan perniagaan yang halal di sisi syarak. Ketiga, mempunyai sifat dan tingkahlaku yang baik serta menurut segala perintah Allah. Keempat, menjauhi dan meninggalkan sifat yang keji dan perbuatan yang dilarang oleh Allah. Kelima, Rajin berusaha, sentiasa berdoa dan bertaawakkal kepada Allah.

Wednesday, August 27, 2008

Kredit Mikro Mampu Melahirkan Usahawan Berjaya?

Pembiayaan kredit mikro merupakan salah satu kaedah yang mampu melahirkan usahawan. Namun begitu kejayaan seseorang usahawan bergantung kepada beberapa faktor antaranya sikap usahawan, modal yang mencukupi, jenis perniagaan, sokongan moral dan sebagainya. Sikap usahawan adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan sesuatu perniagaan. Peniaga perlu sabar mengharungi segala masalah yang mungkin dihadapi dalam memulakan perniagaan. Seringkali juga kita mendengar ada di antara perniagaan yang terpaksa 'gulung tikar' atas alasan ketidakmampuan membiayai kos pengoperasian. Namun ada juga usahawan yang berjaya menghadapi segala rintangan dan terus bersaing dengan usahawan yang telah lama menempa nama di arena perniagaan. Apa yang penting adalah niat yang ikhlas kerana Allah dalam mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.

Thursday, August 7, 2008

Implikasi Skim Kredit Mikro

Perlaksanaan skim kredit mikro dapat memberikan implikasi yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara, membantu mengurangkan kadar kemiskinan, mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan taraf hidup rakyat, mengurangkan gejala sosial yang kurang sihat seperti ceti haram dan 'along' serta dapat membantu pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar melalui penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan.

Thursday, July 17, 2008

Pinjaman al-Qard al-Hasan

Al-Qardhu atau Al-Qard menurut pandangan syara’ adalah sesuatu yang dipinjamkan atau hutang diberikan. Menurut istilah para fuqaha, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dengan lain perkataan, al-Qardhul Hasan adalah merupakan suatu kontrak hutang yang diasaskan atas dasar bantu membantu, sukarela (tabarru’) dan belas kasihan kepada individu yang memerlukan.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud;

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman (al-Qardhu) kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (Hasan) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.”

Al-Qardhu (pinjaman) dalam ayat di atas adalah merupakan al-Qard al-Hasan iaitu pinjaman yang baik. Ini bermaksud jika seseorang meminjamkan sesuatu kepada orang lain, pinjaman tersebut mesti dipulangkan kepada tuannya dalam jumlah atau bentuk yang sama dan tidak boleh ada penambahan pada barangan tersebut.

Monday, July 7, 2008

Hikmah Pengharaman Riba

Hikmah pengharaman riba dalam Islam adalah untuk menguji keimanan seorang hamba dalam melakukan suruhan atau meninggalkan larangan Allah. Selain itu, pengharaman riba dapat memelihara harta orang Islam agar tidak dieksploitasi dengan cara yang batil (salah). Umat Islam juga akan lebih memfokus untuk mengembangkan harta dengan apa jua bentuk pekerjaan mulia yang bersih dari segala bentuk penipuan, jauh dari segala unsur yang boleh menimbulkan kesukaran dan kemarahan di kalangan kaum Muslimin.

Di samping itu, larangan pengambilan riba akan menyekat semua jalan yang boleh menimbulkan atau menyebabkan permusuhan, penganiayaan, kemarahan dan kebencian sesama Muslim. Penghapusan riba juga dapat menjauhkan orang Islam dari sesuatu yang menyebabkan kebinasaan diri kerana pemakan riba adalah seorang yang zalim dan kesan daripada perbuatan zalim adalah kesusahan. Pengharaman riba juga akan membuka beberapa pintu kebaikan kepada orang Islam agar dapat menambah bekalan untuk hari akhirat misalnya dengan memberi pinjaman kepada seseorang tanpa meminta wang faedah , memberi tempoh kepada peminjam sehingga hutang dibayar, memberi kegembiraan serta menyayanginya kerana mengharapkan keredhaan Allah. Kesemua itu dapat memutikkan rasa kasih sayang serta mewujudkan roh persaudaraan sesama Muslim.
“Hai manusia! Sesungguhnya (bencana) kezaliman kalian akan menimpa diri kalian sendiri (SurahYunus:23)
“Takutlah kalian kepada kezaliman kerana kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Takutlah kalian kepada kebakhilan kerana kebakhilan telah memusnahkan orang sebelum kalian; membawa mereka kepada pertumpahan darah dan menghalalkan perkara yang diharamkan kepada mereka.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Hakim)

Monday, June 30, 2008

Riba Menurut Pandangan Syarak

Riba di sisi syara’ ialah penambahan dalam perkara-perkara yang tertentu. Dalam kitab al-Kanz (Mazhab Hanafi) mendefinisikan riba sebagai lebihan suatu harta tanpa tukaran (gantian) di dalam suatu kontrak tukaran harta dengan harta. Definisi ini adalah meliputi riba al-Nasi’ah atas alasan bahawa tangguhan pada sekali satu barang tukaran itu mengakibatkan lebihan.

Pengharaman riba amat jelas melalui al-Quran, Hadith dan Ijma’ Ulama’. Ini kerana riba mendatangkan implikasi yang amat buruk kepada umat Islam sepertimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:
“ Orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu....”

Pengambilan riba amat dikutuk oleh Allah S.W.T sehinggakan diisytiharkan perang ke atas orang yang melakukan riba. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 278-279 yang bermaksud:
“ Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang yang beriman. Oleh itu, jika kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu, akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Rasulullah S.A.W juga mengingatkan umat manusia agar menjauhkan diri dari terlibat dengan riba sepertimana sabda baginda yang bermaksud:
“ Jauhkankanlah tujuh perkara yang membinasakan (dosa besar), disebut antaranya memakan riba.”
Hadith riwayat Ibn Mas’ud r.a.:
“ Rasulullah s.a.w. melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi makan, saksinya dan penulisnya.”

Riba yang diharamkan dalam Islam terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah riba al-Nasi’ah iaitu riba yang satu-satunya diketahui oleh orang Arab Jahiliyah. Ia berlaku akibat kelewatan menjalankan hutang yang sudah sampai tempoh kemudian ditetapkan tempoh baru; tidak kira sama ada hutang itu merupakan harga barang yang dijual atau pun hutang wang. Kedua ialah riba al-Fadl iaitu riba jual beli yang terdapat dalam enam jenis barang iaitu emas, perak, gandum, syair (sejenis gandum), garam dan buah tamar (kurma). Riba ini diharamkan atas dasar mengelak dari sampai kepada riba al-Nasi’ah. Contohnya ialah seperti seorang menjual emas dengan emas kepada suatu tempoh kemudian dibayar dengan perak dengan kadar yang lebih yang mengandungi riba.

Tuesday, June 24, 2008

Produk Pembiayaan Kredit Mikro AIM

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan enam jenis produk pembiayaan kredit mikro iaitu pembiayaan Ikhtiar Mesra (I-Mesra), Ikhtiar Srikandi (I-Srikandi), Ikhtiar Wibawa (I-Wibawa), Ikhtair Bistari (I-Bistari), Ikhtiar Sejahtera (I-Sejahtera) dan Ikhtiar Penyayang (I-Penyayang). Skim Pembiayaan I-Mesra membolehkan sahabat meminjam secara normal selepas selesai pembiayaan sebelumnya. Skim ini adalah asas pembiayaan yang perlu dilalui oleh semua sahabat sebelum mengambil pembiayaan di bawah skim-skim lain. Skim Pembiayaan I- Srikandi berasaskan konsep ‘fast track’ yang diperkenalkan kepada sahabat yang mempunyai potensi projek yang berdaya maju. Skim ini memberi kemudahan kredit kepada sahabat bagi membiayai projek yang lebih besar. Skim I-Penyayang pula diperkenalkan kepada sahabat yang bermasalah dalam membuat bayaran balik, sama ada disebabkan oleh masalah projek mahupun masalah peribadi Sahabat. Produk ini diperkenalkan bagi memastikan sahabat terus menjalankan projek ekonomi yang akan menjana pendapatan walaupun projek asal telah gagal. Pendekatan ini dijangkakan dapat membantu sahabat terus mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mengeluarkan keluarga dari kemiskinan. Skim I-Wibawa diperkenalkan untuk memberi pinjaman yang mudah kepada sahabat yang memerlukan pembiayaan dalam tempoh mereka sedang membuat bayaran balik bagi skim srikandi atau mesra. Pembiayaan diberikan kepada sahabat yang ingin membuat projek secara bermusim seperti perniagaan di musim perayaan, mendapat tawaran atau tender dari pihak-pihak berkaitan seperti agensi kerajaan atau swasta. Skim I-Bistari diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada pinjaman pendidikan yang sedia ada. Skim Pembiayaan I-Sejahtera pula memberi peluang kepada sahabat membeli aset untuk kesejahteraan masa depan di samping memenuhi pelbagai keperluan seperti pelaburan dan simpanannya yang boleh memberi pulangan kepada mereka. Pengenalan kepada produk-produk ini memberi banyak faedah kepada sahabat untuk memenuhi tuntutan menambah nilai ekonomi keluarga.

Amanah Ikhtiar Malaysia

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah ditubuhkan pada 17 September 1987 dan diinstitusikan sebagai sebuah badan amanah persendirian di bawah Akta Amanah 1952 (Kemaskini 1982). Objektif penubuhan AIM adalah untuk mengurangkan kemiskinan di Malaysia melalui pembiayaan modal kecil-kecilan kepada isi rumah miskin untuk menjalankan kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan. Perkembangan AIM adalah dengan sokongan dan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

AIM beroperasi mengikut sistem penyeliaan di pelbagai peringkat daripada Ibu Pejabat, Wilayah, Cawangan, Pusat dan Kumpulan. Untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan dan mengekalkan disiplin bayaran balik yang baik, setiap cawangan AIM diawasi oleh seorang Pengurus Cawangan yang menyelia di antara 7 hingga 9 orang Pembantu Amanah (PA). Setiap Pembantu Amanah akan menyelia 10 orang Ketua Pusat (KP) yang mewakili 400 orang sahabat. Setiap Ketua Pusat pula akan menyelia 8 orang Pengerusi Kumpulan (PK) dan Pengerusi Kumpulan akan menyelia 4 orang sahabat lain dalam kumpulan.

Wednesday, May 14, 2008

KREDIT MIKRO

Kredit mikro merupakan salah satu alat yang dapat membantu proses pembangunan ekonomi terutamanya di kalangan masyarakat miskin luar bandar. Ini kerana kredit mikro dapat digunakan sebagai modal awalan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah salah satu institusi yang menawarkan pembiayaan kredit mikro kepada golongan miskin terutamanya kaum wanita bagi meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pertambahan rezeki dan pendapatan keluarga.

Tuesday, May 13, 2008

Assalamualaikum...

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T, dengan limpah Kurnia-Nya saya dapat memulakan sedikit coretan di dalam blog ini. Terima kasih kepada Kak Su kerana banyak memberi tunjuk ajar dalam proses menyiapkan paparan ini.